Audit Amalan Persekitaran Berkualiti (QE)

Hari yang ditunggu-tunggu kini telah menjelma. UniKL MIMET menghadapi hari penentuannya dengan ketibaan juruaudit daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) untuk Audit Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) pada Jumaat, 5 Julai 2013 yang lalu. Juruaudit MPC yang hadir ialah Saudara Josffa Ismail daripada MPC Wilayah Utara.

Audit Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) dimulakan kira-kira jam 9:00 pagi dengan ucapan aluan dan penerangan latar belakang UniKL MIMET daripada Timbalan Dekan UniKL MIMET, Dr. Mohd Yuzri Mohd Yusop. Kemudian penerangan mengenai perjalanan dan usaha-usaha UniKL MIMET ke arah pensijilan QE/5S diteruskan oleh Penyelaras Jawatankuasa Induk QE/5S, Puan Hajah Nik Umaimah Mohd Hashim.

Setelah mendengar ucapan dan penerangan, Juruaudit MPC memulakan pemeriksaan beliau dengan melihat fail-fail QE/5S induk, promosi, latihan, audit serta beberapa zon. Kemudian, beliau membuat tinjauan fizikal ke seluruh zon QE/5S untuk meninjau 5 aspek kriteria Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) iaitu ruang pejabat, kawasan pengeluaran/proses, tempat simpanan, tempat umum (kafeteria, surau, pantri, tandas dll.) serta kawasan persekitaran. Jawatankuasa Induk QE/5S membawa Saudara Josffa Ismail melawat ke pejabat pentadbiran, stor alat tulis, stor dokumen kewangan, pejabat-pejabat pensyarah, bilik dokumen maklumat pelajar, kafeteria, stor pemulangan, makmal-makmal bengkel-bengkel dan sudut-sudut 5S.

Pada jam kira-kira 1:00 petang, tibalah saat-saat yang ditunggu-tunggu oleh setiap warga UniKL MIMET. Juruaudit MPC, Saudara Josffa Ismail memberi ulasan kepada audit beliau dan memberikan beberapa cadangan penambahbaikkan yang membina kepada UniKL MIMET untuk memantapkan lagi Amalan Persekitaran Berkualiti di sini. Seterusnya beliau mengumumkan hasil daripada audit beliau UniKL MIMET telah berjaya untuk mendapat pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE). TAHNIAH WARGA UniKL MIMET!!!