Pra Audit Amalan Persekitaran Berkualiti (QE)

Pada tanggal 2 Julai 2013, UniKL MIMET telah berjaya menjalankan Pra Audit Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) di seluruh kampus UniKL MIMET. Pra Audit tersebut telah dilakukan oleh Encik Zul Ezwan Muhammad, wakil daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan.

Pra Audit Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) dimulakan pada kira-kira jam 9:00 pagi dengan acara Mesyuarat Pembukaan yang dipengerusikan oleh Ketua Kampus UniKL MIMET iaitu Prof. Madya Zainorin Mohamad. Semasa mesyuarat pembukaan ini, Ketua Kampus UniKL MIMET memperkenalkan serba sedikit mengenai latar belakang UniKL MIMET, perancangan menyeluruh UniKL MIMET untuk menjayakan pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti (QE) serta aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan untuk mencapai pensijilan tersebut.

Setelah selesai Mesyuarat Pembukaan, Encik Zul Ezwan Muhammad memulakan pemeriksaan Pra Audit tersebut dengan memeriksa fail-fail jawatankuasa induk serta fail-fail setiap zon. Setelah itu, Encik Zul Ezwan dibawa pula membuat pemeriksaan fizikal ke zon-zon dan dimulakan dengan Zon Marlin (Pentadbiran). Kemudian, beliau dibawa untuk memeriksa Zon Toman (Academic Services & Pejabat Dekan), Zon Toman (Seksyen QA), Zon Siakap Merah (HEM), Zon Bilis (Pusat Sumber) dan kemudiannya ke Zon Plecs (MEET) serta Zon Emas (ASAT) sebelum berehat untuk makan tengahari dan solat Zohor.

Selepas rehat, lawatan Pra Audit diteruskan lagi ke bengkel-bengkel iaitu kawasan yang dipertanggungjawabkan kepada Zon Belut (MCMT) dan Zon Piranha (MET). Di akhir Pra Audit tersebut, En. Zul Ezwan menyatakan beliau sangat berpuas hati dengan persiapan yang dilaksanakan oleh seluruh warga UniKL MIMET untuk menghadapi Audit Pensijilan yang sebenar iaitu pada Jumaat, 5 Julai 2013 nanti. Beliau menyatakan bahawa UniKL MIMET telah pun mencapai tahap kesediaan sebanyak 85%.

Di akhir majlis, En. Zul Ezwan mengucapkan semoga berjaya kepada UniKL MIMET untuk memperolehi Pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti.