Majlis Perlancaran Ke Arah Pensijilan QE/5S

UniKL MIMET telah menyahut cabaran yang telah dilontarkan oleh Ketua Pengarah MARA, YBhg. Datuk Ibrahim Ahmad untuk membentuk kampus berpersekitaran kualiti yang lebih baik dengan melancarkan kempen Ke Arah Pensijilan QE/5S pada hari Isnin, 25 Mac 2013. Perlancaran tersebut dilakukan oleh Prof. Dato' Dr. Mansur Bin Salleh, Dekan merangkap Ketua Kampus di Dewan Khatulistiwa, UniKL MIMET dan dihadiri oleh semua staf UniKL MIMET

 

Dalam ucapan beliau, Prof. Dato' Dr. Mansor berkata matlamat utama UniKL MIMET untuk mendapatkan pensijilan QE/5S ini adalah untuk mewujudkan persekitaran kerja yang berkualiti melalui amalan 5S dengan mengutamakan kebersihan, keselesaan dan keselamatan di tempat kerja. Beliau juga menekankan kepentingan dalam menyemai semangat kerja berpasukan dalam melaksanakan amalan 5S tersebut. UniKL MIMET dijangkakan untuk mendapatkan persijilan QE/5S ini pada bulan Mei 2013 yang akan datang.

Dihujung Majlis Perlancaran tersebut, semua staf UniKL MIMET telah bangun dan melaungkan ikrar "Kami Warga UniKL MIMET Komited Demi Mencapai Pensijilan QE/5S" sebagai akujanji dan meluahkan komitmen warga UniKL MIMET untuk merealisasikan pensijilan tersebut.